17 Januari 2017 - 17:25
Kami Tidak Optimistik Dengan Kesimpulan Dialog Astana: Menteri Syria

Menteri Perdamaian Kebangsaan Syria, Ali Haidar berkata bahawa beliau tidak begitu yakin bahawa dialog Astana akan memberikan kesan yang positif kepada krisis di negaranya itu.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Menteri Perdamaian Kebangsaan Syria, Ali Haidar berkata bahawa beliau tidak begitu yakin bahawa dialog Astana akan memberikan kesan yang positif kepada krisis di negaranya itu.

Bercakap kepada pemberita, Haidar berkata bahawa pendekatan yang ada untuk menyelesaikan konflik di Syria terbahagi kepada dua bahagian; Pertama adalah dengan melawan dan membasmi keganasan yang telah berakar-umbi di negara Arab itu. Pendekatan yang lain pula adalah melalui proses perdamaian semula di peringkat kebangsaan. Menurut beliau pendekatan tersebut akan membuka jalan untuk dialog Syria-Syria pada masa hadapan.

Beliau juga mengatakan bahawa sepertimana Damsyik menyertai dialog di Geneva dan Moscow, mereka juga akan menyertai dialog di Astana walaupun mereka percaya bahawa dialog itu tidak akan memberikan kesan positif di dalam mewujudkan keamanan di Syria. Ini kerana, pentadbiran Assad mahu menunjukkan kepada dunia bahawa mereka tidak pernah menutup pintu dialog sekaligus menafikan tuduhan musuh kepadanya.

"Hakikatnya, suasana yang wujud di sekitar dialog yang bakal dilangsungkan di Astana tidaklah positif," katanya sambil menambah dengan mengatakan bahawa "Kami tidak menaruh harapan yang tinggi kepada mesyuarat di ibu kota Kazakhstan itu."

Perang di Syria tercetus sejak Mac 2011 dengan penyertaan kumpulan-kumpulan pengganas yang berbeza-beza termasuk Daesh dan al-Nusra. Usaha diplomatik untuk menamatkan krisis di Syria baru-baru ini mendapat momentum baharu dengan pengumuman gencatan senjata yang berkuatkuasa di negara Arab itu pada awal bulan ini.

Gencatan senjata yang disepakati oleh Rusia, Iran, Turki, Damsyik dan kumpulan pembangkang Syria tidak merangkumi kumpulan pengganas seperti Daesh dan al-Nusra.